Rabu, 6 April 2011

Pemilik Rahsia Rasulullah


Alkisah pada suatu hari, seorang anak kecil sedang menggembala kambing kepunyaan pembesar Quraisy, Uqbah bin Abi Mu'aith, dan telah datang kepadanya Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar r.a. yang sangat keletihan dan kehausan hinggakan bibir mereka kering. Mereka mengucapkan salam seraya berkata, "Wahai anak kecil, perahkanlah untuk kami susu kambing ini agar dahaga kami hilang dan keringat kami hilang."
"Maaf, aku tidak boleh melakukannya. Kambing ini bukan milikku. Aku hanya seorang penggembala." Jawab anak itu bersenandungkan amanah.
Rasulullah s.a.w. lalu berkata, "Tunjukkan kepadaku (1)kambing yang belum dikahwinkan." Anak kecil itu, yang digelar Ibnu Ummi Abdul, menunjukkan kepada seekor kambing kecil yang berada dekat dengannya. Rasulullah s.a.w. menghampiri kambing itu lantas memegang puting susunya dengan tangan, menyebut nama  Allah lalu meniupnya. Dan keluarlah susu kambing itu bercucuran. Ibnu Ummi Abdul, atau nama sebenarnya Abdullah ibn Mas'ud, hanya memerhati dengan penuh kehairanan.
Abu Bakar r.a. mengisi air susu itu dalam seketul batu yang berlubang lalu mereka, termasuk Abdullah, meminumnya. Selesai hajat mereka, air susu itu berhenti mengalir sebaik sahaja diarahkan oleh Rasulullah s.a.w.
"Ajarkan kepadaku kalimat yang engkau ucapkan tadi," kata Abdullah.
"Engkau anak yang terdidik," jawab Rasulullah.
Itulah permulaan kisah Abdullah ibn Mas'ud r.a. dengan Rasulullah s.a.w.. Sedari pertemuan itu, Abdullah menggauli Nabi Allah, Muhammad s.a.w. hingga akhirnya dia memilih Islam sebagai agamanya. Abdullah termasuk golongan As-Sabiqunal Awwalun, iaitu kelompok pertama yang menerima Islam. Dia kemudian menawarkan diri untuk berkhidmat kepada baginda dan jadilah dia pembantu kepada Penghulu Para Nabi.
Membesar di rumah baginda membuka peluang kepada Abdullah untuk ditunjuk ajar, belajar, dan mencontohi Rasulullah. Sejarah meriwayatkan bahawa Ibn Mas'ud adalah sahabat yang paling banyak membaca Al-Quran, paling memahami maknanya dan paling mengetahui syari'at Allah s.w.t.. Bahkan Rasulullah s.a.w. mengizinkan Abdullah masuk ke (2)rumah baginda sesuka hatinya dan menyingkap landasan rahsia baginda hinggakan dia dipanggil Sahibussir, pemilik rahsia Rasulullah s.aw..
Umar Al-Khattab pernah bercerita, suatu malam ketika dia berada di samping baginda dan Abu Bakar r.a. yang sedang bermusyawarah perihal kaum Muslimin lalu mereka beredar dari tempat itu, mereka melihat seorang lelaki yang sedang solat di dalam masjid. Rasulullah s.a.w. berdiri sejenak di situ melontarkan pandangannya terhadap lelaki itu hingga akhirnya lelaki itu menoleh kepada mereka. Bagida langsung berkata, "Siapa yang senang membaca al-Quran dengan lembut sebagaimana diturunkan, hendaklah dia membacanya seperti bacaan Ibnu Ummi Abdul." Ketika Ibnu Mas'ud duduk berdoa, Rasulullah s.a.w. melanjutkan kata-katanya, "Mintalah, engkau akan diberikan-Nya. Mintalah, engkau akan diberikan-Nya."
Umar r.a. lalu berkata dalam hatinya, "Demi Allah, esok aku akan menemui Ibnu Mas'ud dan memberitahunya bahawa Rasulullah s.a.w. mengaminkan doanya." Adapun keesokan harinya, Abu Bakar r.a. telah mendahuluinya lalu berkatalah Umar r.a., "Demi Allah, Abu Bakar selalu mendahuluiku dalam kebaikan." Umar r.a. telah menyifatkan Ibnu Mas'ud sebagai dana ilmu dan mengangkatnya sebagai kadi Kufah pada zaman pemerintahannya.
Ibnu Mas'ud, sahabat yang dimuliakan Rasulullah, mempunyai pengalaman dalam dua hijrah – ke Habsyah dan ke Madinah – dan berkesempatan sembahyang berkiblatkan dua kiblat iaitu Baitulmaqdis dan Kaabah. Beliau juga pernah mengikuti semua peperangan yang disertai oleh Rasulullah. Dan dalam peperangan Badar, beliau telah memancung kepala musuh Islam paling hebat; Abu Jahal.

*(1) Sesetengah penulis menyebut kambing jantan, ada pula menyebut kambing yang tidak pernah mengeluarkan susu. Wallahualam.
(2) Sesetengah buku menyebut bilik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan